Hampir 2.5 juta tonton video gol Faiz Subri

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Hanya berbaki kira-kira sebelas jam sebelum keputusan Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 diumumkan, video jaringan ajaib Mohd Faiz Subri terus mendapat perhatian dengan merekodkan hampir 2.5 juta tontonan di laman YouTube.

Setakat 1.30 tengah hari ini, video tersebut yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV pada 21 Nov tahun lepas ditonton 2,404,506 pelayar dari seluruh dunia.

Jumlah penonton jaringan gol Mohd Faiz itu jauh meninggalkan video aksi jaringan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Video aksi Marlone ketika menjaringkan gol melalui sepakan ‘gunting’ ketika membantu pasukannya Corinthians mencatat kemenangan 6-0 ke atas Cobresal pada aksi Copa Libertadores, di tempat kedua dengan jumlah tontonan 1,515,215 kali.

Mohd Faiz Subri ketika menggayakan persalinan Busana Tradisional Melayu berserta Tanjak Mahkota Alam yang diterima daripada Yang Dipertua Armada Malaiu Malaysia, Mass Ahmad Kamal di Hotel Sama Sama, baru-baru ini. – Bernama
Mohd Faiz Subri ketika menggayakan persalinan Busana Tradisional Melayu berserta Tanjak Mahkota Alam yang diterima daripada Yang Dipertua Armada Malaiu Malaysia, Mass Ahmad Kamal di Hotel Sama Sama, baru-baru ini. – Bernama

Aksi memukau Daniuska menggelecek tiga pemain ketika mewakili negaranya menentang Colombia pada Kejohanan Sudamericano Wanita Bawah 17 Tahun di tempat ketiga dengan jumlah tontonan 1,173,508.

Peminat bola sepak masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Puskas FIFA di Zurich, Switzerland pada jam 6.30 petang Isnin waktu tempatan (1.30 pagi Selasa waktu Malaysia). – Bernama