Hampir $2 juta diperuntukkan kepada asnaf fakir dan miskin

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan JHEM

TEMBURONG, 18 APRIL – Majlis Ugama Islam (MUIB) telah memperuntukkan sejumlah $1,957,580 kepada 3,130 orang ketua keluarga dan 10,776 orang tanggungan terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negara bagi tahun 1442H/2021M dalam usaha meringankan bebanan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan itu, seramai 25 orang ketua keluarga dan 81 orang tanggungan menerima sejumlah $15,230. peruntukan tersebut daripada kumpulan wang zakat fitrah dan harta dikutip pada tahun ini pada majlis yang diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan wang daripada zakat fitrah dan harta itu ialah tetamu kehormat, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku naib yang dipertua MUIB.

Majlis sebelum itu dimulakan dengan tadarus Al-Quran oleh rombongan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sempena bulan Ramadan ke masjid-
masjid bagi tahun ini di masjid tersebut.

Ia diisikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat diikuti tadabbur Al-Quran oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang. Ia juga diteruskan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Tadarus KHEU seterusnya akan mengunjungi Masjid Al-Mashor, Kampung Sungai Mau, Daerah Belait pada 21 April kelak.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menyerahkan sumbangan MUIB kepada salah seorang penerima.
Rombongan KHEU bertadarus di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.