Hampir 200 maut banjir di India, Nepal

NEW DELHI, 21 OKT – Hampir 200 orang mati dalam banjir dan tanah runtuh di India dan Nepal, menurut pegawai hari ini, dengan sebahagiannya seluruh keluarga dilaporkan tertimbus dalam kediaman mereka dan dua lagi kanak-kanak perempuan dihanyutkan, ketika peramal kaji cuaca memberi amaran lebih banyak turunan hujan dijangkakan.

Pakar mengatakan mereka yang maut adalah mangsa cuaca ekstrem dan sukar diramalkan melanda Asia Selatan dalam masa beberapa tahun ini akibat perubahan iklim dan diburukkan lagi oleh pembasmian hutan, pembinaan empangan dan pembangunan berlebihan.

Nepal merekodkan peningkatan mendadak dalam angka kematian, dengan pegawai menjelaskan 88 orang mati, antaranya sebuah keluarga enam orang termasuk tiga kanak-kanak yang rumah mereka dihempap dan ditimbus tanah runtuh.

“Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bertungkus-lumus bagi operasi menyelamat dan bantuan. Di bawah jawatankuasa itu, Pasukan Polis Nepal, Angkatan tentera dan agensi-agensi lain dikerahkan,” kata pegawai kecemasan, Dijan Bhattarai.

Di negeri utara Uttarakhand, India, seramai 55 orang disahkan mati – lima daripadanya daripada sebuah keluarga yang rumah mereka juga tertimbus dalam tanah runtuh.

Banyak jambatan dan jalan juga rosak, manakala bandar-bandar terputus hubu-ngan, dengan tentera terpaksa dikerahkan untuk memulihkan hubungan dan mencapai beribu-ribu orang terkandas.

Setiausaha Bencana Negeri, S Murugeshan mengatakan angka kematian mungkin meningkat, dengan sejumlah orang masih hilang termasuk 20 pelancong yang mendaki sebuah gla-sier. – AFP

Seorang lelaki meredah banjir di hadapan sebuah lapangan terbang selepas hujan lebat melanda Biratnagar, Nepal, 21 Oktober, ketika angka kematian daripada banjir dan tanah runtuh di India dan Nepal mencecah hampir 200 orang. – AFP