Hampir 200 pakai gelang tangan perintah kuarantin

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Setakat ini hampir 200 orang yang dikenakan perintah kuarantin telah dipasangkan gelang tangan yang menandakan mereka menjalani kuarantin dan akan dibuka hanya setelah berakhirnya tempoh perintah kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Adapun mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin, pihak Kementerian Kesihatan akan membenarkan mereka untuk melepaskan gelang tangan tersebut sama ada secara fizikal mahupun secara panggilan video bersama pihak Kementerian Kesihatan.

Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyatakan jika mereka yang menggunakan gelang tersebut gagal memperlihatkan gelang yang diberikan kepada mereka kepada petugas Kementerian Kesihatan sama ada melalui video atau secara perjumpaan fizikal akan dikenakan kompaun.

Oleh itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengatakan adalah penting bagi mereka memastikan gelang tangan yang diberikan tersebut sentiasa ada dan digunakan pada dirinya selama tempoh yang telah ditetapkan.