Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Seramai 1,997 murid dari Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), termasuk dari Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, telah menghadiri sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1446 Hijrah di sekolah berkenaan, hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Chong Li Chen, serta Pemangku Pengetua Sekolah Rendah dan TASKA, Hajah Noraniza binti Abdul Rahman.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan selawat beramai-ramai, yang bertujuan memperkenalkan murid-murid kepada peristiwa penting dalam sejarah Islam, selain menanam rasa cinta dan hormat terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai teladan terbaik umat Islam.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti memperingati kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW, termasuk penerangan profil Nabi Muhammad SAW serta perarakan Maulud Nabi Muhammad SAW yang melibatkan semua murid sekolah berkenaan.
Program itu juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran murid-murid mengenai pentingnya meneladani sifat-sifat mulia Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian mereka.