Hampir 300 pelarian Rohingya mendarat di Indonesia

LHOKSEUMAWE, INDONESIA, 7 SEPT – Hampir 300 pelarian Rohingya mendarat di Indonesia awal hari ini, mendakwa mereka sudah berada di lautan selama tujuh bulan, menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dalam satu daripada pendaratan terbesar oleh minoriti Muslim yang teraniaya di Myanmar selama bertahun-tahun itu.

Pelarian – termasuk belasan kanak-kanak – dikesan di laut dalam kapal kayu oleh penduduk tempatan yang membantu mereka mendarat berhampiran bandar Lhokseumawe di pesisir pantai utara Sumatera, kata pegawai.

“Berdasarkan keterangan, mereka mengatakan sudah tujuh bulan hanyut di laut,” kata penyelaras agensi pelarian PBB, Oktina. “Kami lihat keadaan mereka amat lemah pada ketika ini,” tambahnya.

Chris Lewa, pengarah Projek Arakan – sebuah NGO yang memfokuskan krisis Rohingya – mengatakan pelarian mungkin ditahan di lautan sementara penyeludup memeras wang daripada keluarga mereka.

“Orang-orang ini sebenarnya dijadikan tahanan,” katanya. “Mereka (penyeludup) mengatakan bahawa mereka tidak akan mendarat sehinggalah mereka dibayar.”

Namun dia mengakui ‘kita belum lagi mengetahui cerita mereka secara menyeluruh.’ Seorang daripada ahli kumpulan – merangkumi 102 orang lelaki, 181 wanita dan 14 kanak-kanak – sakit dan terpaksa dikejarkan ke hospital tempatan untuk rawatan, kata ketua tentera kawasan, Roni Mahendra.

Imej-imej dari Lhokseumawe memaparkan pelarian duduk atas tanah dalam satu khemah sementara dengan hanya sedikit barangan yang dibawa. Sekitar sejuta Muslim Rohingya hidup dalam kem pelarian padat dan daif di Bangladesh – berdekatan dengan negara asal mereka Myanmar – di mana penyeludup manusia menjalankan operasi lumayan menawarkan mereka perlindungan di luar negara.

Destinasi pilihan mereka ialah negara majoriti Muslim, Indonesia dan jirannya Malaysia. – AFP

Kanak-kanak pelarian Rohingya selepas diturunkan dari bot mereka di Lhoseukmawe, Aceh, 7 September. Hampir 300 pelarian Rohingya mendarat di pulau itu, yang paling ramai setakat ini. – AFP