Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 350 maut akibat Taufan Yagi

    BAGO, 15 SEPT – Para sukarelawan bergegas ke kawasan yang ditenggelami banjir di Myanmar hari ini ketika jumlah kematian akibat Taufan Yagi di negara itu meningkat lebih dua kali ganda dan kawasan terpencil melaporkan peningkatan jumlah kematian dan hilang.

    Banjir dan tanah susur telah mengorbankan hampir 350 orang di Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand selepas Taufan Yagi melanda rantau ini hujung minggu lalu, menurut angka rasmi.

    Seorang lelaki memberitahu AFP bagaimana dia cuba menyelamatkan orang ramai dengan menggunakan tali ketika air banjir setinggi empat meter melanda bandar Kalaw yang berbukit di negeri Shan pada 10 September.

    “Arus sangat deras malah beberapa bangunan turut musnah,” katanya sambil menggambarkan perabot yang dihanyutkan di jalan raya.

    “Saya dapat melihat keluarga yang terperangkap dari jauh berdiri di atas bumbung rumah mereka,” kata lelaki itu, yang bekerja untuk sebuah kumpulan bukan kerajaan tempatan.

    “Saya dengar ada 40 mayat di hospital,” katanya.

    Seorang ahli perniagaan wanita di Yangon yang mengendalikan sebuah syarikat di Kalaw memberitahu AFP bahawa kakitangannya di sana melaporkan hampir 60 orang telah terkorban di bandar itu.

    Junta Myanmar tidak menyatakan sama ada mana-mana daripada 74 orang yang dikatakan telah meninggal dunia akibat banjir itu berada di Kalaw. Angka kematian sebelum ini, yang dikeluarkan pada Jumaat, adalah 33 orang. – AFP

    Penduduk yang terjejas akibat banjir dibawa menggunakan bot penyelamat di Taungoo, wilayah Bago, Myanmar pada 14 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda