DETROIT, 16 JUN – Pembuat kereta melaporkan hampir 400 kemalangan dalam tempoh 10 bulan melibatkan kenderaan dengan sistem bantuan pemandu separa automatik, termasuk 273 daripada Tesla, menurut statistik yang dikeluarkan oleh pengawal selia keselamatan Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh raya Kebangsaan (NHTSA) dalam pada itu turut mengeluarkan peringatan agar tidak berpandukan rekod nombor kemalangan tersebut untuk membandingkan antara pembuat kereta dan mengatakan kemalangan tidak bergantung pada bilangan kenderaan daripada setiap pengeluar yang menggunakan sistem tersebut ataupun sejauh mana perjalanan kenderaan dibuat.
Selain itu, pengilang kereta turut melaporkan kemalangan dari Julai tahun lalu hingga 15 Mei tahun ini di bawah arahan daripada agensi tersebut, yang meneliti kemalangan sedemikian secara meluas buat kali pertama.
Nahas Tesla dilaporkan terjadi semasa kenderaan menggunakan sistem Autopilot, Full Self-Driving, Traffic Aware Cruise Control atau sistem bantuan pemandu lain yang mempunyai kawalan terhad ke atas kelajuan dan stereng kereta. Syarikat berkenaan mempunyai kira-kira 830,000 buah kenderaan dengan sistem yang sama di jalan raya.
Pembuat kereta seterusnya yang turut melaporkan puluhan kemalangan ialah Honda, dengan 90 kemalangan. Honda berkata, ia mempunyai kira-kira enam juta buah kenderaan di jalan AS dengan sistem sedemikian. Subaru seterusnya dengan 10, dan semua pembuat kereta lain melaporkan lima kemalangan atau ke bawah.
Pada Jun 2021, NHTSA memberitahu lebih daripada 100 buah syarikat pembuat kereta dan syarikat teknologi kenderaan automatik untuk melaporkan kemalangan serius dalam masa satu hari selepas mengetahui tentangnya dan mendedahkan kemalangan yang kurang serius menjelang hari ke-15 bulan berikutnya.
Sementara itu, turut dicatatkan enam orang terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan sistem bantuan pemandu dan lima cedera parah, kata NHTSA. Daripada angka kematian itu, lima berlaku di Tesla dan satu dilaporkan oleh Ford. Tiga daripada kecederaan serius pula adalah di Tesla, manakala Honda dan Ford masing-masing melaporkan satu kes kecederaan. – AP