Oleh Salawati Haji Yahya & Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Seramai 3,999 orang anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerima sumbangan derma pada majlis penyerahan derma anak-anak yatim peringkat kebangsaan yang diadakan secara pandu lalu dua hari bermula hari ini.
Daripada jumlah itu, 2,580 orang adalah yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara, 611 orang anak yatim berdaftar di Daerah Tutong, 619 orang anak yatim berdaftar di Daerah Belait dan 189 orang anak yatim yang berdaftar di Daerah Temburong.
Pada hari ini, majlis penyerahan tertumpu di Daerah Brunei dan Muara yang diadakan di tiga lokasi iaitu Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas; Masjid Hassanal Bolkiah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mentiri dan Dewan Bridex, Jerudong.
Hadir bagi menyampaikan derma anak yatim di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pengarah-pengarah Bebas Lembaga Pengarah BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dan Haji Sofian bin Mohammad Jani.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari;Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan BIBD.
Di Dewan BRIDEX pula, penyerahan derma disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud manakala itu, di Masjid Hassanal Bolkiah, penyerahan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohammad Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JAPEM, derma yang disampaikan adalah dari Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM berjumlah $199,950, Tabung Dana Anak Yatim Daerah dan Brunei dan Muara berjumlah $79,980 serta sumbangan Bank Islam Brunei Darussalam berjumlah $199,950.
Kenyataan menyatakan, kadar sumbangan yang dihulurkan kepada anak yatim adalah tertakluk kepada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai kepada tabung tersebut di mana kempen kutipan derma melalui SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim bagi 1442H/2021M telah berjaya mengumpulkan dana berjumlah $220,619.
Majlis penyerahan derma di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas akan dilanjutkan esok yang secara serentak diadakan di seluruh daerah termasuklah di Pusat Insani, Seria, Kompleks Sukan Tutong dan Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Temburong.
Majlis berkenaan dikendalikan oleh KKBS melalui JAPEM dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan BIBD.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan BIBD, Hajah Noraini dipetik berkata, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, BIBD berdedikasi untuk menyokong kerajaan Brunei dan inisiatif negara dalam membantu masyarakat membangun dan maju ke hadapan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kami terhadap Rangka Kerja Kemapanan BIBD dan menunjukkan sokongan kami terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGs) untuk menghapuskan kebuluran dan kemiskinan, memastikan kesihatan dan menggalakkan kesejahteraan rakyat dalam semua peringkat umur dan mengurangkan ketidaksamaan dalam komuniti kita,” tambahnya.
BIBD dalam kenyataan itu menyatakan, kerjasama bersama JAPEM itu adalah sebahagian daripada usaha pelbagai platform BIBD untuk memberikan sokongan kepada masyarakat Brunei, termasuk program tahunan Sirah Amal BIBD dan perkembangan berterusan dalam program BIBD ALAF.
JAPEM dalam kenyataannya pula mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada Tabung Anak-anak Yatim melalui Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, JAPEM, Jalan Kebangsaan, Kampung Pulaie, Bandar Seri Begawan, BB4310, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.
Orang ramai boleh menghulurkan derma melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim yang berlangsung selama tiga bulan mulai 1 April hingga 1 Julai depan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100.
Di samping itu, orang ramai juga boleh menderma ke tabung berkenaan melalui BIBD online atau memasukkan derma ke nombor akaun 0000-101-004-9034 di bawah nama akaun ‘Tabung Anak-anak Yatim’.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM di talian 2380704 semasa waktu pejabat atau menghubungi hotline JAPEM, Talian Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.
Dengan adanya sumbangan daripada orang ramai itu akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal yang mulia selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan yang penuh keberkatan sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT.