Hampir 400,000 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sebanyak 371,204 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada penduduk di negara ini, setakat ini, yang bermakna 52 peratus telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Sementara itu, 29.8 peratus lagi sudah pun menerima suntikan lengkap,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Yang Berhormat Dato menambah, daripada jumlah tersebut, 36,470 warga emas (80.7 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dengan 19,603 lagi (43.4 peratus) sudah menerima vaksin lengkap.

Manakala itu, setakat ini, jumlah suntikan vaksin dalam kalangan ibu-ibu mengandung adalah seramai 2,478 orang iaitu 70 peratus ibu mengandung telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, seramai 1,873 orang ibu yang menyusukan anak damit telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa ibu-ibu mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti COVID-19 dan mendapat komplikasi akibat COVID-19 berbanding dengan wanita tidak mengandung.

“Oleh itu, ibu-ibu mengandung adalah sangat digalakkan untuk hadir ke Klinik Kesihatan Ibu untuk membuat perjanjian suntikan vaksinasi atau pun boleh terus hadir ke pusat-pusat suntikan di semua daerah bagi mendapatkan vaksin COVID-19,” jelasnya lagi.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mengajak penduduk di negara ini untuk bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi dan diberkati, semoga rakyat dan penduduknya sentiasa diberikan kesihatan dan keafiatan, dijauhkan dari segala penyakit dan jangkitan khususnya jangkitan COVID-19, serta semoga semua pesakit-pesakit COVID-19 diberikan kesembuhan secepatnya.