Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 10 Jan – Muzium Daerah Belait akan mengadakan Pameran Seni Lukisan Spektrum Belait selama empat bulan bermula 13 Januari ini sehingga 30 Jun depan.
Pameran tersebut merupakan yang pertama kali diadakan di daerah ini dan akan mengetengahkan hampir 50 buah karya lukisan yang dihasilkan oleh seramai 21 orang artis dari seluruh negara.
Antara karya-karya yang akan dipamerkan termasuklah yang mengetengahkan budaya dan warisan, selain ekonomi, alam semula jadi, mercu tanda sejarah, kegiatan sosial dan kraf tangan yang terdapat di daerah ini.
Sehubungan dengan itu, majlis pelancaran pameran tersebut akan diadakan pada 13 Januari ini, jam 9 pagi dan dijangka akan disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku tetamu kehormat majlis.
Muzium Daerah Belait yang terletak di Jalan Maulana, telah mula dibuka pada tahun 2016 dengan mengetengahkan pameran-pameran kekal seperti Galeri Warisan Budaya, Galeri Sejarah Industri Minyak dan Gas, Galeri Warisan Alam Semula Jadi dan beberapa pameran bermusim.

Bangunan Muzium Daerah Belait merupakan bangunan lama yang telah dibina pada tahun 1938 dan pernah dijadikan kediaman rasmi Penolong Residen British, kemudiannya dijadikan kediaman rasmi Pegawai Daerah Belait sehingga tahun 1990.
Ia kemudiannya diperbaharui pada tahun 2011 dan dibukakan sebagai muzium pada tahun 2016 dengan struktur bangunan campuran daripada arkitek Melayu dan Kolonial.
Bangunan berkenaan merupakan satu kebanggaan kepada penduduk Daerah Belait kerana ia merupakan salah satu khazanah negara yang belum pupus untuk menjadi ristaan sejarah sehingga kepada generasi-generasi yang akan datang.
Orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung menyaksikan pameran-pameran yang terdapat di muzium tersebut dan juga pameran lukisan bermula Sabtu ini, yang dibukakan untuk kunjungan dari jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari Sabtu hingga Rabu.