Hampir 5,000 pekerja kilang dipecat

DHAKA, 29 Jan – Hampir 5,000 pekerja kilang pakaian Bangladesh yang berpendapatan rendah yang mengeluarkan pakaian berjenama global telah dipecat oleh ketua-ketua kilang kerana menyertai demonstrasi mengenai gaji pada bulan ini, kata pihak polis hari ini.

Beribu-ribu buruh mengadakan mogok dari tugasan mereka di seluruh negara dalam demonstrasi selama beberapa hari yang telah mengganggu industri bernilai AS$30 bilion itu. Demonstrasi itu bertukar menjadi ganas dan memaksa pihak polis menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Seorang pekerja terbunuh dan lebih daripada 50 yang lain cedera dalam pertempuran di Ashulia, sebuah bandar industri utama di luar Dhaka di mana pakaian dijahit untuk syarikat gergasi runcit seperti H&M, Walmart dan banyak lagi.

Polis mengatakan beribu-ribu pekerja kilang yang dituduh merampas barang-barang dan melakukan kerosakan semasa protes itu telah dipecat, tetapi kesatuan telah menuduh industri pakaian itu telah bertindak untuk menakut-nakutkan dan melakukan kekerasan.

“Setakat ini, kilang-kilang telah memecat 4,899 pekerja akibat rusuhan itu,” kata pegawai kanan polis kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Lebih daripada 1,200 pekerja pakaian, yang gajinya bermula antara AS$95 sebulan, telah dipecat dari sebuah kilang.

Kesatuan itu mengatakan jumlah sebenar pemecatan pekerja jauh lebih tinggi iaitu lebih dekat dengan 7,000, dan hampir seratus lagi telah ditangkap.

Salauddin Shapon, setiausaha agung badan Industri All Bangladesh, berkata ramai pekerja takut untuk kembali bekerja.

“Kes-kes telah difailkan terhadap 3,000 pekerja yang tidak dikenali, yang telah menimbulkan panik. Banyak yang memilih untuk tidak pergi ke kilang-kilang,” katanya kepada AFP.

Polis tidak akan memberi komen mengenai tuduhan penangkapan yang meluas.

Bangladesh adalah tempat kepada 4,500 kilang pakaian yang menggaji seramai 4.1 juta pekerja, dan merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia selepas China. – AFP