Hampir $50,000 lagi disumbangkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, persatuan-persatuan dan institusi pengajian tinggi tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Kementerian Kesihatan dalam majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, bagi majlis penyampaian sumbangan derma yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, sumbangan berjumlah $44,986.50 berkenaan telah diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Pada majlis berkenaan, sumbangan daripada sekumpulan pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah bersara berupa cek berjumlah $23,600 telah disampaikan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dan turut dihadiri oleh Yang Dimuliakan Mejar Jeneral (B) Pehin Orang Kaya Seri Dewa Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud, Kolonel (B) Dato Paduka Haji A Jumat bin Zakaria dan Kolonel (B) Haji Zainal Ariffin bin Dato Haji Ahmad.

Sumbangan dari International Women’s Club of Brunei Darussalam berupa cek berjumlah $5,000 pula disampaikan oleh Presiden, Ungku Datin Hajah Fanzah binti Haji Osman.

Sementara itu, Universiti Brunei Darussalam (UBD) menyumbangkan $10,000 yang
disampaikan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zharina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, Universiti Teknologi Brunei menyumbangkan $3,335 yang disampaikan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali menyerahkan cek berjumlah $3,051.50 yang disampaikan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norafan bin Haji Zainal.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima sumbangan yang disampaikan YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan