Hampir 600 pelarian Burundi pulang

GISURU, BURUNDI, 3 OKT – Sekumpulan 600 penduduk Burundi yang melarikan diri daripada keganasan politik di tanah air mereka ke Tanzania, hari ini dihantar pulang ‘secara suka rela’, menurut agensi pelarian PBB dan saksi.

Seorang pegawai UNHCR memberitahu AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan bahawa ‘590 pelarian Burundi meninggalkan Tanzania dalam konvoi pada pagi ini.’

Kumpulan itu tiba dalam lapan buah bas di Gisuru di timur Burundi, di mana terdapat pusat transit untuk pelarian yang pulang, kata saksi.

“Pelarian berkenaan akan tinggal dalam kem sehingga esok sebelum dihantar ke kampung halaman mereka dengan kit bekalan untuk bertahan sehingga tiga bulan,” beritahu pegawai Burundi kepada AFP, juga enggan memberikan namanya.

UNHCR telah melancarkan kepulangan hampir 75,000 pelarian secara suka rela sejak September 2017, di bawah satu perjanjian dengan Burundi dan Tanzania.

Menurut agensi, kira-kira 225,000 pelarian Burundi masih tinggal di tiga kem di Tanzania. 71,000 lagi berada di Rwanda, 45,000 di Republik Demokratik Congo dan 43,000 di Uganda. – AFP