Friday, December 2, 2022
23.8 C
Brunei

-

Hampir 700 penduduk Mukim Rambai terjejas banjir

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 22 NOV – Setakat ini, hampir 700 penduduk yang tinggal di Mukim Rambai terutamanya kawasan pedalaman terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat yang berterusan, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Kampung Merimbun dan Kuala Ungar, Awang Sani bin Angkat semasa membuat tinjauan perkembangan banjir bersama Media Permata di mukim itu pagi tadi turut mengongsikan beberapa buah rumah dan jalan raya turut dibanjiri.

Tinjauan banjir itu turut disertai beberapa pengamal media dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Daerah Tutong.

Menurut Awang Sani, kampung-kampung di mukim yang terjejas banjir itu meliputi Benutan, Kuala Ungar dan Rambai yang mengalami bah dua kali sejak bulan ini menjadikannya enam kali sepanjang tahun ini.

Beliau turut menganggarkan 200 buah rumah telah terjejas dalam bencana banjir di mukim itu iaitu sebanyak 70 buah rumah di Kampung Merimbun dan Kuala Ungar, kira-kira 60 buah rumah di Kampung Rambai, lebih 40 di Kampung Benutan dan 30 di Kampung Panchong.

Situasi banjir di beberapa kawasan jalan di Mukim Rambai, pagi kelmarin.
Pemangku Ketua Kampung Merimbun dan Kuala Ungar, semasa me-ngongsikan situasi banjir di Mukim Rambai, kelmarin.

Antara catuan barangan asasi dari JAPEM cawangan Daerah Tutong turut diagih-agihkan kepada mangsa banjir di kampung-kampung yang terjejas.

Mengikut pecahan penduduk yang terkesan bencana itu, Awang Sani mengongsikan lebih 400 penduduk di Kampung Merimbun dan Kuala Ungar, bagi Kampung Benutan antara 60 hingga 70 orang dan Kampung Rambai 200 hingga 300 orang.

“Antara usaha yang telah dilakukan oleh ketua-ketua kampung ialah dengan memaklumkan situasi paras air di kawasan kampung yang mengalami banjir kepada pihak-pihak berkepentingan. Pihak Jabatan Daerah Tutong melalui Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Tutong sentiasa berganding bahu menangani bencana berkenaan.

“Begitu juga Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) turut memainkan peranan bersama pihak-pihak berkenaan menerusi usaha menyalurkan bantuan catuan barangan kepada mangsa-mangsa yang terjejas meliputi kediaman yang dimasuki air mahu pun yang terputus jalan perhubungan,” tambahnya lanjut.

Tinjauan berkenaan telah dibantu oleh beberapa anggota Tentera Darat Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berperanan dalam menyediakan keperluan kemudahan kenderaan trak 4 Tan Handalan.

Dalam pada itu, sejurus selepas tinjauan, JAPEM cawangan Daerah Tutong turut berkesempatan mengagihkan bantuan catuan barangan asasi kepada beberapa orang mangsa banjir di kampung-kampung yang terjejas.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

India sandang jawatan Presiden G20, Majlis Keselamatan PBB

NEW DELHI, 1 DIS – India menyandang jawatan presiden G20 dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai hari ini, lapor Sputnik. G20 ialah forum antara kerajaan...
- Advertisment -