Hampir 80,000 rumah alami gangguan elektrik

TOKYO, 16 SEPT – Hampir 80,000 buah rumah masih lagi mengalami gangguan elektrik selepas seminggu taufan kuat membadai timur Jepun, kata pihak berkuasa hari ini, dengan hujan lebat berterusan mencetuskan arahan pemindahan dan menghambat usaha pemulihan.

Taufan Faxai membadai rantau Tokyo awal Isnin lalu, membawa angin kencang yang menumbangkan tiang elektrik, mengganggu persediaan Piala Dunia Ragbi dan mencetuskan kerajaan untuk mengarahkan puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka.

Ribut itu membunuh dua orang, dengan kira-kira tiga warga emas yang kemudian disahkan maut akibat haba panas ketika suhu mencecah lebih 35 darjah Celsius di kawasan-kawasan yang terjejas oleh gangguan elektrik selepas taufan.

Kira-kira 78,700 seisi rumah tanpa bekalan elektrik di Chiba, tenggara bandar, kata jurucakap Tokyo Electric Co. (TEPCO), Naoya Kondo kepada AFP.

“Pemulihan sepenuhnya belum siap sehingga 27 September ketika kami berdepan kesukaran di kawasan pergunungan,” tambahnya.

Kira-kira 16,700 seisi rumah juga tanpa bekalan air disebabkan beberapa kilang penulenan air tidak mempunyai kuasa, kata pegawai tempatan.

Dengan bantuan daripada tentera, para pegawai telah menghantar trak tangki air ke kawasan terjejas.

Agensi kaji cuaca negara hari ini mengeluarkan amaran baharu bagi hujan lebat di Chiba, sementara pihak berkuasa tempatan mengeluarkan arahan pemindahan kepada 46,300 orang kemungkinan berlakunya risiko tanah runtuh. – AFP