Hampir 82,000 peranti diedar kepada pelajar

KUALA LUMPUR, 1 OGOS – Hampir 82,000 peranti telah diserahkan kepada pelajar dari 618 buah sekolah di seluruh negara setakat 25 Julai, di bawah inisiatif CERDIK.

Pada masa sama, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara sedang memproses hampir 5,000 peranti yang akan diedarkan dalam masa terdekat. 

CERDIK merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh.

Program perintis CERDIK adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dalam menyediakan akses digital untuk pendidikan dan merangkumi dua komponen utama – akses kepada peranti dan ketersambungan data. 

Walaupun terdapat persekitaran bekalan yang mencabar dan pergerakan terhad di bawah pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekretariat CERDIK iaitu Yayasan Hasanah serta penderma korporat yang terdiri daripada 28 GLC/GLIC, komited untuk memenuhi penghantaran semua 150,000 peranti secara berperingkat ke PPD pada akhir September 2021. – Bernama