Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir AS$5 bilion dibelanjakan kelab – FIFA

    PARIS, 15 Sept – Jendela perpindahan musim tertutup menyaksikan AS$4.71 bilion (3.96 bulion euro) telah dibelanjakan di seluruh dunia, lebih tiga suku datangnya dari lima liga teratas Eropah, umum FIFA semalam.

    Pembelian rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain dari Barcelona dengan nilai 222 juta euro telah mendominasi tajuk utama, tetapi sebahagian besar kelab-kelab elit Eropah lain juga memecahkan rekod perpindahan mereka sendiri.

    “Antara 1 Jun dan 1 September, sebanyak 7,590 perpindahan antarabangsa telah dilengkapkan di seluruh dunia,” kata FIFA dalam satu kenyataan.

    “Perbelanjaan global mencapai AS$4.71 bilion, bermakna perbelanjaan kelab-kelab selama tiga bulan itu merekodkan jumlah yang hampir sama dengan apa yang telah dibelanjakan selama setahun pada 2016 (AS$4.79 bilion).

    PSG juga menandatangani remaja sensasi Kylian Mbappe dari Monaco melalui pinjaman, dengan pilihan untuk menjadikannya pemain kedua termahal dunia dengan nilai 180 juta euro.

    Sebahagian besarnya kerana PSG, Perancis telah menyaksikan peningkatan perbelajaan perpindahan antarabangsa, dengan kelab-kelabnya telah membelanjakan AS$604.1 juta, peningkatan sebanyak 250 peratus.

    Juara Eropah sebanyak lima kali, Bayern Munich dan Barcelona juga memecahkan rekod kelab masing-masing dengan menyambar Corentin Tolisso dan Ousmane Dembele.

    Laporan FIFA mendapati kelab-kelab lima liga teratas Eropah telah membelanjakan AS$3.67 bilion, rekod baru jendela perpindahan.

    “Sekali lagi, kelab-kelab Big 5 (England, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Itali) menjadi tumpuan, melengkapkan 21.2 peratus perpindahan kemasukan keseluruhan dan membelanjakan 77.9 peratus perbelajaan global keseluruhan,” tambah badan induk bola sepak dunia itu.

    England telah membelanjakan sebahagian besar wang ke atas pemain, dengan jumlah keseluruhan AS$1.4 bilion, lebih dua kali ganda berbanding negara lain.

    Keadaan huru-hara jendela perpindahan kali ini telah mencetuskan satu gesaan bagi reformasi, dengan kelab-kelab Inggeris membuat undian agar jendela perpindahan mereka ditutup sebelum bermulanya musim 2017-2018. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda