Hampir dua pertiga sungai dunia terjejas

PARIS – Hampir dua daripada tiga sungai terpanjang di dunia terjejas teruk disebabkan oleh empangan, takungan air dan pembinaan yang dilakukan oleh manusia, kata pasukan penyelidik baru-baru ini sambil menambah bahawa kerosakan pada sungai-sungai itu mengakibatkan ekosistem di muka bumi turut terjejas.

Berpandukan daripada perisian model komputer dan data satelit terkini, pasukan penyelidik antarabangsa itu mengkaji hubungan sungai-sungai sepanjang 12 juta kilometer di dunia ini. Mereka mendapati daripada 91 batang sungai yang memiliki kepanjangan lebih 1,000 kilometer, hanya 21 sahaja daripadanya mempunyai aliran terus ke laut.

Hanya 37 peratus daripada 242 sungai terpanjang di dunia dapat mengalir dengan bebas, satu keadaan yang memberikan kesan buruk kepada kepelbagaian bio di Bumi.

“Sungai-sungai di dunia membentuk jaringan kompleks dan mempunyai kaitan utama dengan daratan, air bawah tanah serta atmosfera,” kata penulis utama kajian itu, Gunther Grill dari Jabatan Geografi Universiti McGill.

“Sungai yang bebas mengalir adalah amat penting kepada manusia dan alam sekitar. Bagaimanapun, pembangunan ekonomi di seluruh dunia menjadikannya semakin sukar ditemui,” tambahnya.

Empangan

Kajian mengenai sungai yang disiarkan dalam jurnal Nature baru-baru ini ini mendapati bahawa kebanyakan sungai yang bebas mengalir hanya terhad ditemui di kawasan Artik, Amazon dan Lembangan Congo. Penyelidikan itu menganggarkan terdapat 60,000 empangan besar yang merosakkan sungai daripada keseluruhan 2.8 juta empangan di seluruh dunia.

Halangan aliran sungai itu mengganggu aliran nutrien yang penting bagi menggantikan nutrien tanah yang hilang akibat proses pertanian selain menyebabkan sejumlah hidupan sungai pupus. Gangguan tersebut turut mengurangkan mendapan pada muara sungai yang membantu melindungi berjuta-juta orang daripada peningkatan paras air laut.

Pasukan penyelidik itu memberi amaran bahawa empangan-empangan telah menyebabkan kekurangan populasi ikan sungai yang menjadi sumber protein kepada kira-kira 160 juta penduduk dunia. – AFP

Kebanyakan sungai yang bebas mengalir hanya terhad ditemui di kawasan Artik, Amazon dan Lembangan Congo. – AFP