KUALA LUMPUR – Apabila paras oksigen darahnya menurun kepada 37 peratus, Mohamed Sadik Abdul Kadir tahu dia sedang berdepan ajal di depan matanya.
Semasa pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan dengan tegas memberitahu pesakit dalam kuarantin di rumah untuk segera mendail 999 jika bacaan oksigen darah mereka pada oksimeter menurun di bawah 92 peratus.
Tetapi tiada 999 untuk didail Mohamed Sadik kerana dia berada 5,800m di atas paras laut, berhadapan dengan suhu di bawah -10ºC.
Dia dan tiga rakannya cuba menakluki Puncak Mera (6,476m), salah satu gunung di banjaran Himalaya.
Keajaiban yang datang dengan menakluki Puncak Mera ialah duduk di sana, awda mempunyai pemandangan lima gunung ter-tinggi di dunia tanpa halangan dan penuh emosi: Everest (8,848m), Kangchenjunga (8,586m), Lhotse (8,516m), Makalu (8,485 m) dan Cho Oyu (8,201m).
Pengembaraan mereka bermula pada 13 Oktober lalu apabila mereka meninggalkan Malaysia. Mereka selamat pulang pada 28 Oktober.
Daripada empat rakyat Malaysia yang berani itu, hanya Eric Pok, 50, yang berjaya sampai ke kemuncaknya.
Philip Yong, 64, dan Vincent Chong, 52, terus berusaha sehingga penyakit gunung akut (AMS) meng-atasi mereka pada 6,000m dan mereka berpatah balik.
Mohamed Sadik, 51, di kem pada ketinggian 5,800m, sudah tahu simptom AMSnya terlalu teruk untuk dia teruskan pendakian.
Semasa mendaki ke kem bawah, kira-kira 4,000m, amaran pertama Mohamed Sadik adalah sakit kepala yang menjengkelkan.
“Saya mengambil ubat penahan sakit paracetamol untuk melegakan simptom,” ujarnya.
Semasa perjalanan ke perkhemahan atas, dia teringat mengalami halusinasi – tiba-tiba menyedari bahawa dia berada di padang pasir, berasa sangat panas walaupun berada dalam suhu di bawah sifar, dan percaya ais dan salji adalah pasir.
Dia bersusah payah menyedut udara, tetapi tidak ada oksigen yang cukup dalam atmosfera nipis untuknya.
Di kem atas, dua pemandu Sherpa dan rakan-rakannya membantunya mendirikan khemah dan menempatkannya di dalam; penglihatannya telah kabur dan dia menjadi tidak keruan.
AMS ialah keadaan perubatan yang dialami oleh mereka yang mendaki dengan cepat ke ketinggian melebihi 3,352m dan bukannya menghabiskan banyak hari untuk menyesuaikan diri.
Manusia yang tinggal di dataran rendah mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri, dan sebagai perbandingan, Sherpa (penduduk dataran tinggi) dilahirkan dengan lebih banyak kapilari bagi setiap sentimeter persegi otot. Mereka mempunyai dada yang lebih besar dan kapasiti paru-paru yang lebih besar.
Jika dibiarkan, seseorang yang menghidap AMS boleh bertambah teruk sehingga mengalami cecair di dalam paru-paru dan bengkak di otak, kedua-duanya boleh membawa maut.
Melebihi 2,500m di atas paras laut, pakar menasihatkan mendaki pada kadar tidak lebih daripada 300m hingga 500m sehari dan berehat selama sehari penuh sebelum meneruskan.
Di atas 4,000m, pakar menasihatkan mengehadkan pendakian lebih jauh kepada hanya 300m sehari dan berehat selama dua hari sebelum meneruskan pendakian.
Di Malaysia, hanya Gunung Kinabalu (4,095m) mungkin menyebabkan AMS. Puncak lain yang paling tinggi di Malaysia hanya melebihi 2,000m.
Berbaring di khemahnya, Mohamed Sadik mengimbas kembali bagaimana imej ahli keluarganya terus muncul di depannya.
“Memang benar. Apabila awda menghadapi risiko kematian, awda melihat semua orang yang awda sayangi,” kata Mohamed Sadik, yang tinggal di Kuala Lumpur.
Dia mempunyai ingatan kabur tentang diberi sup dan beberapa spageti, dan dia terkenang takut tertidur kerana takut dia tidak akan bangun.
Namun dia terlena akhirnya, dan dia diberitahu kemudian bahawa dia mengalami apnea tidur yang teruk; rakan-rakannya dapat mendengar dia bergelut untuk bernafas walaupun semasa tidur, dan mereka sentiasa menjaga dan memantau keadaannya.
Ternyata sedikit makanan dan tidur yang cukup memberikan kesan kerana pada subuh berikutnya, Mohamed Sadik mula berasa lebih baik dan menikmati landskap yang menakjubkan.
Apabila Eric kembali selepas menakluki puncak pada hari itu, kegembiraan bagaikan satu kejutan buat semua.
“Akhirnya, perlumbaan hanya dengan diri sendiri. Kami semua berkongsi kegembiraan Eric.
“Saya fikir mungkin dengan berehat satu malam lagi, saya boleh mencuba mendaki, tetapi Sherpa kami menasihatkan supaya tidak melakukannya.
“Mereka telah melihat orang mati di sana, jadi saya memilih untuk mendengar nasihat mereka,” katanya. Usahanya belum berakhir.
Mohamed Sadik, yang gemar melakukan pelbagai pengembaraan sejak kecil, berazam untuk menawan Puncak Mera sekali lagi, mungkin tahun depan.
“Saya menguruskan firma pembinaan saya sendiri, jadi saya agak sibuk dan mungkin tidak meluangkan masa latihan yang mencukupi. Saya akan berusaha lebih gigih dan mendaki lagi,” katanya.
Dia percaya orang ramai harus mencabar diri mereka sendiri dan mengejar impian mereka, namun sentiasa bersedia untuk menarik diri dan mencuba lagi kemudian.
Pendaki gunung tidak melakukan apa yang mereka lakukan sebagai rekreasi. Mereka didorong oleh motivasi intrinsik untuk memulakan usaha yang mencabar dan berisiko ini.
Pada 5 Oktober lepas, pendaki gunung berpengalaman Hazlami Ahmad Nizam, 33, penduduk Kedah yang tinggal di Kuantan, maut dalam perjalanan ke Puncak Mera.
Pada 30 Oktober, pendaki gunung Parthiban Kandasamy, 38, seorang diplomat asing Malaysia, meninggal dunia ketika mendaki ke Kem Pangkalan Everest (5,364m) di Nepal. – ANN/The Star