Hampir sejuta penutup hidung, mulut tiba di Sarawak

KUCHING, 9 APRIL – Sejumlah 900,000 keping penutup hidung dan mulut tiba di Sarawak hari ini menerusi penerbangan sewa khas MAS Kargo dari Shanghai, China untuk kegunaan petugas perubatan di seluruh negeri itu.

Pesawat MH6496 yang berlepas pada 10.18 pagi (waktu tempatan) tiba pada 3.43 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM6.5 juta untuk membeli kelengkapan perubatan itu dan RM1.7 juta bagi kos sewa khas pesawat.

“Selain penutup hidung dan mulut, turut tiba ialah gogal perlindungan perubatan sebanyak 50,000 unit, topeng respirator KN 95 sebanyak 125,880 uni, pakaian perlindungan perubatan sebanyak 50,040 unit dan kasut perlindungan perubatan sebanyak 50,040 unit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua kelengkapan perubatan itu dibeli kerana ia amat diperlukan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta bagi membantu usaha semua petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19. – Bernama

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga, kiri) sebaik sahaja menerima sejumlah 900,000 topeng penutup hidung dan mulut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Sarawak, kelmarin. – Bernama