Hampir seminggu sifar jangkitan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sudah hampir seminggu Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 136 orang.

Sementara itu, empat orang telah disahkan sembuh daripada jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 112 orang.

Manakala, jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini ialah sebanyak 23 kes di mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, dan selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, pada hari ini juga, seramai 76 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,407 orang.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika mengongsikan status terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam semasa sidang media di Kementerian Kesihatan.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 263 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 11,089 ujian,” kongsi Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa, dua lagi daripada 11 kes yang telah sembuh tetapi dimasukkan semula ke Pusat Pengasingan Kebangsaan setelah didapati positif semasa pemeriksaan susulan, telah didapati negatif setelah menjalani tiga kali ujian.

Mereka akan menjalani pengasingan diri selama 14 hari lagi, sebagaimana SOP yang ada pada masa sekarang.

Ini bermakna hanya tujuh kes saja lagi yang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.