Hampir tiga tan kokain disita

MADRID, 17 APRIL – Hampir tiga tan kokain yang disembunyi dalam sebuah bot nelayan telah disita di luar pantai Canary Island, Sepanyol, kata pegawai hari ini.

Dadah itu disimpan dalam tangki minyak bot dan lima anggota kru – empat warga Turki dan seorang warga Georgia – ditahan semasa operasi yang diadakan pada Rabu, menurut kenyataan bersama oleh polis Sepanyol, pengawal negara dan kementerian kewangan.

Pihak berkuasa dimaklumkan bahawa kapal ‘AKT 1’ mungkin membawa dadah oleh agensi antarabangsa MAOC-N yang menyelia kempen menentang penyeludupan dadah di Atlantik.
Ia ditahan 300 batu nautika di selatan Canaries dan telah ditunda ke Las Palmas, kata kenyataan. – AFP