AMMAN, 4 APRIL – Bekas putera mahkota Jordan, Putera Hamzah Al-Hussein yang terbabit dalam rancangan rampasan kuasa terhadap abang tirinya, Raja Abdullah II, semalam melepaskan gelaran dirajanya.
Hamzah, dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Twitter, mengumumkan melepaskan gelaran itu, sebulan selepas kenyataan mahkamah diraja mengatakannya memohon maaf kepada Raja Abdullah II atas rampasan kuasa yang gagal tahun lalu.
“Selepas apa yang saya saksikan sejak beberapa tahun lalu, saya telah membuat kesimpulan bahawa keyakinan peribadi dan nilai yang ayah tanamkan dalam diri saya tidak selaras dengan pendekatan, trend atau kaedah moden institusi kita.
“Saya mendapat penghormatan besar untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tercinta dalam kapasiti ini sepanjang hidup saya dan terus setia kepada Jordan yang dicintai,” katanya.
Pada 8 Mac, mahkamah diraja berkata, Hamzah bertanggungjawab atas tindakan dan kesalahannya terhadap Jordan dan Raja Abdullah II Al Hussein sejak beberapa tahun lalu, termasuk insiden dalam kes hasutan. – AFP