Han So Hee tarik diri dari Gentlemen

Selepas diumumkan bakal membintangi sebuah filem besar berjudul Gentleman, pastinya ramai tidak sabar melihat kemunculan Han So Hee dalam naskhah itu. Mana tidaknya, dia antara pelakon wanita cukup digilai sekarang.

Bagaimanapun, So Hee dikhabarkan terpaksa menarik diri dan melepaskan peluangnya terbabit dalam filem berkenaan. Keputusan berat itu diambil kerana dia kini berdepan masalah kesihatan.

Justeru, dia perlu nekad untuk melepaskan tawaran filem itu kerana ingin memberi fokus kepada kesihatan. Sejak kebelakangan ini, dia dikhabarkan tidak putus-putus dihujani pelbagai tawaran menyebabkan dia mengalami keletihan.

Berita terbabit disahkan agensinya 9ato Entertainment yang sangat menyokong tindakan So Hee. Mereka tidak mahu mengabaikan kebajikan pelakon itu dan jauh mengutamakan kesihatannya.

“Kami ingin maklumkan, Han So Hee sudah menarik diri daripada filem Gentleman. Dalam kesibukan jadual kerjayanya, terdahulu dia ada berbincang secara lanjut dengan produksi filem itu dan menyatakan keinginan membintangi Gentleman.

“Bagaimanapun, disebabkan saranan serta penilaian doktor, dia perlukan rehat secukupnya buat masa ini.

Ia kerana beberapa isu kesihatan termasuk keletihan melampau dan dia memutuskan untuk pulihkan fizikal serta mentalnya.

“Walaupun kami sendiri sangat teruja untuk menunjukkan sisi berbeza lakonan So Hee menerusi filem itu, kami mohon peminat faham dengan keputusan terbabit. Masanya masih panjang untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, dia akan fokus bagi memulihkan semula tahap kesihatannya. Dia akan kembali rancak dengan projek baharu sebaik kesihatannya kembali seperti sedia kala demi peminat,” kata agensinya. – Agensi

So Hee terpaksa menarik diri dan melepaskan peluangnya terbabit dalam filem besar. – Agensi