Han Sohee takut untuk berkahwin

Gara-gara membintangi drama The World Of The Married dan memegang watak sebagai perampas, pelakon Han Sohee mengakui dia menjadi takut untuk menempuh alam perkahwinan suatu hari nanti.

Memetik laporan Koreaboo, Han Sohee memberitahu ada juga rakan-rakannya berasa bimbang untuk bercinta selepas menonton drama tersebut yang sudah berakhir pada 16 Mei lalu.

“Drama ini memberi gambaran yang sangat terperinci mengenai proses perpecahan sebuah keluarga. Malah ia membuatkan saya sendiri terfikir sama ada boleh hidup dalam alam perkahwinan atau tidak suatu hari nanti.

“Rakan-rakan juga ada yang takut untuk menjalinkan hubungan cinta selepas menonton drama tersebut. Anak kepada salah seorang rakan saya turut mengakui dia mengalami masalah emosi atas alasan sama,” katanya.

Drama yang mengisahkan tentang kehidupan perkahwinan yang hancur disebabkan orang ketiga itu mula menjadi fenomena sejak ditayangkan pada 27 Mac lalu. – Agensi

Han Sohee mengakui dia menjadi takut untuk menempuh alam perkahwinan suatu hari nanti selepas memegang watak sebagai seorang perampas. – Agensi