Haneesya Hanee buang dendam, maafkan diri sendiri

Selepas dihimpit pelbagai kontroversi pada tahun lalu, pelakon Haneesya Hanee akhirnya tampil dengan semangat baharu apabila dia mula memaafkan diri sendiri serta mereka yang pernah menyakitinya sebelum ini.

Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 20, melalui Instagram berkata dia tidak lagi berdendam dengan sesiapa.

“Assalamualaikum, saya nak jadikan hari ini sebagai sesuatu untuk diingati.

“Saya maafkan semua orang yang pernah menyakiti saya.

“Saya maafkan orang yang pernah tularkan saya, hina saya, kutuk saya dan yang paling penting sekali saya maafkan diri saya sendiri,” katanya.

Haneesya Hanee ingin mulakan episod baharu dengan maafkan semua orang yang pernah menyakitinya. – Agensi

Tambaha Haneesya, tiada lagi rasa benci dengan diri sendiri atas apa yang terjadi kepadanya sebelum ini.

Bekas juara Dewi Remaja 2018/2019 ini mahu memulakan perjalanan baharu dalam hidupnya.

“Saya tak lagi rasa benci pada diri sendiri. Saya nak mulakan episod baharu dalam hidup.

“Jadi, saya bersihkan hati daripada semua kebencian ini dan memutuskan untuk memaafkan semua orang.

“Semoga masa hadapan saya bersinar dengan lebih terang berbanding dulu. Insya-Allah,” tulisnya.

Haneesya sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila video dia sedang berparti di kelab malam tersebar sehingga kemenangannya sebagai juara program Dewi Remaja 2018/2019 ditarik balik.

Ibu kepada Haneesya, Nor Sakuraneeda juga pernah membuat laporan polis terhadap tiga akaun laman sosial yang menghantar mesej berbaur ugutan serta menggunakan foto aktres itu tanpa izin dengan niat untuk mengaibkan serta menghina tempat tinggal mereka.

Selepas kontroversi berkenaan, Haneesya diundi sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH32) pada 22 September 2019. – Agensi