Hanie tangguh pengajian kedoktoran

Selepas enam tahun memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian, Hanie Soraya, 26, kini kembali fokus pada kerjaya nyanyiannya.

Hanie yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura, Mesir itu berkata meskipun sekian lama tidak aktif, ia tidak sesekali memudarkan semangat meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian.

“Sudah lama saya meninggalkan industri muzik. Saya sekejap timbul dan tenggelam selama lebih enam tahun setengah menumpukan perhatian pada pengajian di Mesir. Kini, saya menangguhkan Pegawai Perubatan Latihan Siswazah atau ‘housemanship’ bagi memberi fokus pada kerjaya muzik,” katanya yang ditemui pada sidang media program Big Stage musim ketiga, baru-baru ini.

Hanie adalah salah seorang daripada 12 peserta bagi program realiti yang disertai ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) itu.

Bagaimanapun, katanya, dia akan menyambung ‘housemanship’ selama dua tahun, sebaik tamat program Big Stage 2020.

Hanie adalah salah seorang daripada 12 peserta bagi program reality, Big Stage musim ketiga. – Agensi

Penyanyi yang popular menerusi lagu Hujung Dunia dan Rasa Sayang itu berkata, dia tidak akan mengetepikan bidang kedoktoran dan akan cuba mengimbangi kerjaya itu dengan bidang nyanyian.

“Saya percaya semua orang boleh buat dua kerja seperti salah seorang peserta Big Stage, Doktor Hafiz yang bekerja sebagai doktor gigi.

“Dia juga mahu menjadi penyanyi, jadi mengapa tidak memiliki dua kerjaya. Dunia nyanyian tidak mendatangkan masalah, malah ramai yang menyokong minat saya ketika belajar di Mesir.

“Saya tahu akan menjadi terlalu sibuk, tetapi jika minat, saya percaya akan cuba sesuaikan dengan jadual,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Hanie tidak menafikan cabarannya untuk menyesuaikan diri dengan industri muzik semasa.

“Apa yang membezakan industri sekarang dengan dahulu adalah media sosial. Tetapi, apa yang diperkatakan netizen akan diambil sebagai komen membina.

“Jika asyik dengar kecaman dan ambil perkara keruh, bagaimana mahu perbaiki diri? Setiap hari kita perlu memasang keinginan untuk menjadi yang lebih baik,” katanya.

Kali terakhir Hanie muncul dengan single menerusi lagu Pantas, empat tahun lalu. Biarpun begitu, Hanie terharu apabila masih ramai yang mengingatinya.

“Saya tak tipu ramai sudah melupakan saya, tetapi syukur setiap kali menyanyikan lagu dalam persembahan, ada sahaja yang menyanyikan sekali. Saya gembira single lalu masih meninggalkan impak,” katanya. – Agensi