Hanna tetap laku walau kurang menyerlah

Orangnya cantik, tinggi lampai dan lincah bermain bola sepak wanita di padang, namun nama pelakon, Hanna Aqeela, 31, belum mencipta magis seperti pelakon lain, biarpun hampir tujuh tahun bergelar pelakon.

Barangkali, nama Hanna kurang menyerlah dan cukup pantas mencipta populariti disebabkan tidak pernah dicuit kontroversi serta gosip panas. Namun, bagi pemain bola sepak wanita Kelab First 11 FC itu, soal populariti tidak langsung mematahkan semangat untuk terus menghayun langkah sebagai anak seni.

Biarpun mungkin tidak sepopular pelakon wanita lain, anak jati Kuala Lumpur itu bagaimana bersyukur tawaran lakonan diterima tidak pernah putus, sejak dahulu lagi.

Jika tidak, masakan mampu bertahan hingga hari ini dan dipilih membintangi drama hebat seperti Patah Sayap Bertongkat Paruh, 30 Pesanan Suara, Rumah Siti Khadijah, Ombak Rindu The Series, Bila Hati Berbicara dan banyak lagi. Hanna atau nama sebenarnya, Hanna Aqeela Mohd Rosni yang kini muncul dalam drama bersiri, Suara Hati tidak pernah berasa terancam atau mahu berlawan dengan pelakon baharu.

“Alhamdulillah, setakat ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Walaupun belum sampai tahap popular, namun selagi ada tawaran lakonan, saya okay sahaja.

“Saya tidak pernah mempersoalkan kenapa saya tidak sampai ke tahap sesetengah pelakon yang pantas mencipta populariti. Malah, tidak pernah terlintas untuk berlawan dengan bintang baharu. Jika ingin berlawan sekali pun mungkin dari sudut karya.

“Saya bersyukur tawaran lakonan sentiasa tidak putus. Soal tak popular tidak mengapa, asalkan orang nampak hasil kerja saya, itu pun sudah memadai,” katanya kepada media.

Hanna ditemui pada sidang media drama adaptasi novel, Suara Hati arahan Emy Suffian secara virtual, baru-baru ini. Hanna bergandingan dengan Syafiq Kyle menerusi drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu.

Selain Hanna dan Syafiq, drama yang menghiasi tersebut turut dibintangi Aidil Aziz, Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud, Datuk Seri Rezza Shah dan ramai lagi.

Hanna yang memegang watak Hani dalam drama 13 episod itu mengakui, rindu mahu kembali ke lokasi penggambaran selepas lebih dua bulan kerja seninya tertangguh akibat Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN). Malah, katanya, pendapatannya turut terjejas akibat tidak dapat keluar bekerja. – Agensi

Nama Hanna kurang menyerlah dan cukup pantas mencipta populariti disebabkan tidak pernah dicuit kontroversi serta gosip panas. – Agensi