Hannah Delisha kini berhijab

Sekian lama menyimpan keinginan berhijrah akhirnya pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha, 24, tekad berhijab, sejak empat hari lalu.

Menerusi perkongsian menerusi entri Instagram (IG), Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch memuatkan gambar bertudung dengan kapsyen Bismillah mendapat pujian ramai, malah lebih 200,000 tanda suka.

Pengikut dan teman artis menyambut baik keputusan dilakukan pelakon yang mencipta fenomena menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer itu. Hannah berkata, niat tersimpan sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.

“Jika ikutkan, saya sudah berniat mahu memakai hijab sejak Ramadan lalu. Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan komitmen drama Cinta Sekali Lagi, niat berhijrah terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Namun, saya tidak menangguhkan hasrat sebaik selepas penggambaran. Semoga saya terus istiqamah. Alhamdulillah. Saya mula bertudung sejak empat hari lalu. Namun, hanya berkongsi berita itu dalam laman sosial, semalam,” katanya kepada media.

Akhirnya pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha membuat keputusan untuk berhijab. – Agensi

Mengulas perubahan yang dirasai, Hannah berkata, jiwanya kini lebih tenang.

“Saya hanya menunaikan tanggung-jawab kepada Allah SWT. Dalam hidup, kena sentiasa berubah dan memperbaiki kekurangan diri.

“Saya mahu menjadi muslimah yang baik. Insya Allah. Saya juga bersyukur kerana keputusan dibuat pada saat tiada hutang penggambaran yang memerlukannya tidak bertudung,” katanya.

Mengulas keputusan dibuat selepas terdengar gosip mendakwa bakal mendirikan rumah tangga, Hannah menafikannya. “Tidak… Saya bertudung bukan sebab mahu kahwin,” katanya.

Menerusi satu lagi perkongsian, Hanna berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya dan turut mendoakan semua agar terus berpegang kepada iman. – Agensi