Hanoi kecilkan kawasan perintah berkurung

HANOI, 17 SEPT – Hanoi akan mengecilkan kawasan dikenakan perintah berkurung susulan pandemik COVID-19, untuk memulihkan operasi pengeluaran dan aktiviti perniagaan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat, Nguyen Manh Quyen, dilaporkan berkata ibu kota ini tidak akan menguatkuasakan perintah berkurung berskala besar.

Bercakap pada satu mesyuarat membabitkan pelbagai pihak, semalam, beliau berkata, ia sebaliknya akan dilaksanakan pada skala terkecil bagi mengawal penularan COVID-19 secara berkesan.

Katanya, penguatkuasaan perintah berkurung itu juga akan mematuhi arahan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, beliau berkata, bandar ini akan sedaya upaya mewujudkan keadaan sewajarnya bagi memastikan pemulihan operasi pengeluaran dan aktiviti perniagaan, sekali gus membantu kelangsungan hidup masyarakat. Menurut pegawai, setakat semalam, bandar ini sudah melakukan ujian COVID-19 terhadap 85 peratus penduduknya sebagaimana dirancang, serta memvaksinasi 93.18 peratus populasi berumur 18 tahun dan ke atas. – Bernama