HanR Enterprise, JPE meterai kontrak

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – HanR Enterprise, syarikat anak tempatan yang memberikan perkhidmatan pengurusan rumah telah menandatangani kontrak dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga di bawah Program i-Usahawan, untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada jabatan berkenaan selama tiga tahun.
Majlis penandatanganan telah berlangsung di Bangunan Bahirah, Jalan Menteri Besar, di mana hadir menyaksikan pendatangan perjanjian berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya.

Menandatangani perjanjian bagi pihak JPE ialah Pemangku Pengarah JPE, Awang Abdul Aziz bin Abdullah manakala itu, HanR diwakili oleh Pengarah Urusan, Awang Hairulalimin bin Ramli.

Awang Abdul Aziz dalam ucapannya menjelaskan, kontrak i-Usahawan berkenaan merupakan yang pertama dianugerahkan kepada usahawan belia tempatan daripada kerajaan yang diwakili oleh JPE.

Katanya lagi, “Program ini adalah satu usaha dan pendekatan daripada JPE bagi memberi pendedahan dan peluang kepada usahawan belia tempatan.”

Di samping itu, tambah beliau, program berkenaan adalah inisiatif di bawah Kementerian Tenaga yang bertujuan untuk memberikan peluang kepada usahawan belia tempatan baharu dalam mengembangkan kemahiran keusahawanan.

Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya menyaksikan penyerahan dokumen kontrak antara HanR Enterprise dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga di bawah Program i-Usahawan, untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada jabatan berkenaan selama tiga tahun pada majlis penandatanganan kontrak di Bangunan Bahirah, Jalan Menteri Besar. – Gambar Muiz Matdani
Haji Azhar menyaksikan sesi penandatanganan kontrak i-Usahawan di antara Jabatan Perkhidmatan Elektrik dengan HanR Enterprise. – Gambar Muiz Matdani

“Ini termasuk meningkatkan kebolehan dalam penyediaan dokumen tender serta bersaing secara kompetitif bagi mendapatkan kontrak yang dikhususkan atau ring-fenced contract daripada pihak kerajaan, syarikat berkaitan dengan kerajaan dan badan berkanun,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, sejak pelancaran program berkenaan, 63 kontrak telah dikenal pasti yang mana 12 kontrak telah dianugerahkan kepada usahawan belia tempatan.
Sementara, Awang Hairulalimin ketika ditemu bual berkata, kontrak berkenaan merupakan yang pertama diperolehi setelah bersaing dengan syarikat-syarikat lama dan berpengalaman sejak 2013.

Menurutnya, dengan adanya Program i-Usahawan ini berkenaan, ia memberi peluang kepada pengusaha baharu untuk bersaing.

Beliau turut menyatakan harapan untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan mereka untuk memberi keselesaan kepada orang ramai terutama pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh HanR Enterprise.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan itu ialah Pemangku Pengarah JPE, Awang Mawardi bin Haji Mohammad; Ketua Perancangan dan Perkhidmatan Korporat JPE, Dayang Siti Kadzijjah binti Abdul Latiff dan Awang Rosli bin Ramli dari HanR Enterprise serta pegawai kerajaan dan pegawai dari Kementerian Tenaga.