Hans Isaac: saya bebas berkongsi apa sahaja

Status yang dimuat naik bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac di Instagram berbunyi ‘kesilapan lama ulang lagi’ menjadi tanda tanya dalam kalangan warganet.

Rata-rata warganet di ruang komen perkongsian tersebut membuat spekulasi mengaitkan status tersebut dengan isu mengenai pelantikan semula pengarah Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas.

Bagaimanapun, Hans menjelaskan status tersebut tidak ditujukan kepada sesiapa dan dia bebas berkongsi apa sahaja di laman sosial.

“Saya tak tujukan perkongsian tersebut kepada sesiapa. Saya hanya kongsikan apa yang terlintas di minda pada waktu itu.

“Saya bebas berkongsi apa sahaja di laman sosial saya dan saya mahu warganet menilai sendiri maksud yang saya cuba sampaikan. Jika mereka faham, maka fahamlah,” katanya.

Sementara itu, Hans berkata dia akan terus menyuarakan pendapat peribadinya terhadap industri kreatif di laman sosial yang selama ini terpaksa dipendam berikutan jawatannya di agensi itu.

Tambah pelakon filem Cuci itu lagi, pendapat yang disuarakan itu adalah bagi mengelakkan salah faham terhadap kenyataan yang pernah dilakukan ketika memegang jawatan di Finas.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi berbangkit mengenai campur tangan Hans dalam bidang tugas Ahmad Idham sebagai CEO Finas. – Agensi

Hans menjelaskan status di laman Instagram tidak ditujukan kepada sesiapa dan dia bebas berkongsi apa sahaja di laman sosial.- Agensi