Hantar invois melalui e-mel

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Pada masa ini, di Kementerian Kewangan dan Ekonomi membenarkan penggunaan soft copy melalui e-mel bagi invois dan dokumen-dokumen yang berkenaan.

Kaedah berkenaan dibolehkan memandangkan keadaan pada masa ini dan ia akan terus dilaksanakan sehingga tempoh yang akan diumumkan nanti, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, mengenai dengan cop FR, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa bagi setiap pembelian barang atau pemberian perkhidmatan, ia memerlukan pengesahan bahawa pembelian atau perkhidmatan yang diberikan adalah betul dan teratur di mana invois atau penyata penghantaran perlu dicop.

Sehubungan itu, bagi perniagaan atau syarikat berkenaan, mereka boleh menghantar e-mel invois berkenaan kepada perbendaharaan di mana ia akan dicop dan akan dihantar kembali menerusi e-mel kepada syarikat itu.

Syarikat itu yang mempunyai salinannya berkenaan, mereka boleh menghadapkannya kepada perbendaharaan untuk proses pembayaran melalui portal e-Invoice di mana penggunaan portal berkenaan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun sudah dan digalakkan orang ramai menghadapkan pembayaran melalui portal itu.

Mereka juga dikehendaki untuk menyertakan invois yang telah dicop FR serta dokumen-dokumen sokongan bagi proses pembayaran.

Sementara itu, menyentuh mengenai acara yang terpaksa ditangguhkan serta jika wang pendahuluan perlu dipulangkan kepada pelanggan yang membuat tempahan kepada syarikat pengurusan acara atau premis, Yang Berhormat Dato bahawa bahawa pada masa ini, acara-acara seperti perkahwinan atau acara istimewa terpaksa ditangguhkan di mana ia menjejaskan syarikat-syarikat yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan. Syarikat-syarikat berkenaan menaruh harapan bahawa sesiapa yang telah menempah tempat atau acara itu, tidak akan membatalkan tempahan mereka dan akan menangguhkannya ke tarikh lain.

Ini adalah untuk memastikan bahawa mereka dapat mengurus aliran tunai mereka dan perkara itu bukan sahaja memberikan kesan kepada perniagaan di Brunei tetapi juga di luar negara di mana mereka berhadapan dengan masalah aliran tunai apabila orang mula untuk memohon pulangan wang mereka dan sebilangan syarikat besar tidak mampu untuk melakukannya disebabkan oleh masalah aliran tunai mereka.

Oleh itu, mereka berunding dengan pelanggan untuk menundakan acara dan setelah keadaan menjadi lebih baik, mereka akan dapat menggunakan perkhidmatan untuk menjalankan acara berkenaan.

Beliau berpendapat bahawa jika perkhidmatan itu belum diberikan, mereka tidak sepatutnya menyimpan wang berkenaan tetapi pendekatan untuk menangguhkan acara ke satu tarikh pada masa hadapan adalah adil dan dalam keadaan itu, ia juga membantu operator venue.

Semua itu, ulasnya lanjut, adalah bergantung kepada budi bicara serta rundingan antara kedua belah pihak iaitu pelanggan dan penyedia perkhidmatan.