Hanya 10 pasukan bertanding dalam Liga Premier

KUALA LUMPUR, 17 SEPT – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan Liga Premier 2022 akan disertai 10 pasukan berbanding 11 pasukan musim ini selepas Perak FC II sah disingkirkan daripada saingan divisyen kedua Liga Malaysia (Liga-M) itu.

Dalam kenyataan MFL, Ketua Pegawai Eksekutifnya Stuart Ramalingam berkata Perak FC II secara automatik disingkirkan ke saingan Liga M3 selepas ‘Parent Club’ Perak FC tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Stuart berkata berdasarkan Manual Liga Malaysia Artikel 3.19.6 Peraturan Reserve Team, pasukan berstatus ‘Reserve Team’ secara automatik akan tersingkir daripada pertandingan sekiranya Parent Club jatuh liga.

“Perak FC secara rasmi tersingkir daripada kejohanan Liga Super pada musim depan akan bermain di Liga Premier 2022 di mana Parent Club dan Reserve Team tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan yang sama selaras Peraturan 3.19.6 Perkara 1.1 dan 1.2.

“Format Liga Premier sebelum ini menampilkan 12 pasukan tetapi MFL juga mengambil maklum dengan pengumuman pembatalan Liga M3 yang dilakukan AFL pada 14 Sept lalu di mana pembatalan kejohanan itu menyaksikan tiada pasukan yang boleh dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan,” jelas Stuart.

Perak FC yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kedua tercorot akan menyertai pasukan di tempat terakhir UiTM FC yang telah disingkirkan ke saingan Liga Premier musim depan.

Dengan ketiadaan Perak FC II, Liga Premier musim 2022 akan menampilkan Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN, Perak FC dan UiTM FC.

Sementara itu, dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC telah pun mengesahkan kemaraan mereka bertanding dalam kempen Liga Super 2022. – Bernama