PASIR SALAK, 14 Mei – Kadar penglibatan golongan belia berusia di antara 18 hingga 40 tahun dalam sektor pertanian amat membimbangkan apabila ia sekadar mencatatkan 14 peratus tahun ini, kata Penolong Pengarah Unit Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Ahmad Yusseri Zakaria.
Beliau berkata ketika ini, seramai 420 individu menyertai program Agropreneur Muda dengan peruntukan RM7.02 juta sehingga Mei ini.
Namun, katanya jumlah itu masih jauh daripada sasaran 3,000 Agropreneur Muda yang membabitkan peruntukan RM100 juta untuk tahun ini.
Bagi mencapai sasaran itu, kita masih memerlukan seramai 2,580 penyertaan golongan berkenaan lagi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran. Justeru itu, kita akan mempelbagaikan usaha untuk mencapai sasaran tersebut termasuklah mengadakan lebih banyak program Jelajah Agropreneur Muda ke seluruh negara, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Jelajah Agropreneur Muda peringkat Perak oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Changkat Lada, dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak turut menyampaikan Bantuan Geran IKC Bersyarat berjumlah RM4.3 juta kepada 273 Agropreneur Muda dari negeri ini.
Ahmad Yusseri berkata sejak program Agropreneur Muda dimulakan pada 2014, pihaknya telah melahirkan lebih 5,000 usahawan belia sehingga kini. – Bernama