Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Sebanyak 1,314 dos vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 18,643 dos iaitu 43.4 peratus.
“Sementara itu, sebahagian kanak-kanak dalam kumpulan umur ini yang telah menerima dos kedua vaksin adalah sebanyak 346 dos yang meliputi 0.8 peratus kanak-kanak,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Dalam pada itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah kekal pada kadar 64.7 peratus,” katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan sebanyak 126 kes baharu jangkitan COVID dilaporkan hari ini, iaitu 115 kes hasil ujian ART dan 11 kes adalah hasil daripada 765 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini ialah 141,531 kes,” tambah Yang Berhormat Dato.
Selain itu, beliau menyatakan terdapat dua kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).
Manakala satu kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
“Sebanyak 173 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 140,422 kes,” tambahnya.
Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 891 kes iaitu 20 kes sedang dirawat di hospital manakala 871 kes sedang menjalani penga-singan diri di rumah.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kepada orang ramai untuk mempertingkatkan amal ibadah dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, memohon keampunan atas segala dosa yang telah lalu dan memanjatkan kesyukuran atas segala nikmat yang telah diberikan dan berharap semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT jua.