Hanya 30 orang boleh hadir upacara pengebumian – JPBN Sarawak

KUCHING, 25 JAN – Hanya 30 orang dibenarkan hadir pada upacara pengebumian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) di negeri ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan jumlah individu yang hadir di tapak pengebumian sepanjang tempoh PKP dan PKPB juga dihadkan kepada 20 orang.

Memperincikan pandemik COVID-19 di negeri itu, JPBN menyatakan angka kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 30 kes hari ini, selepas dua lagi kematian dilaporkan dengan 120 kes baharu dicatatkan, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 3,499.

Selain itu, kes baharu positif COVID-19 di Sarawak yang dikesan hari ini melibatkan 52 kes di Sibu, 11 di Subis, 10 di Miri, masing-masing sembilan di Dalat dan Bintulu, Kanowit (enam), Samarahan (lima), Julau (lima) dan Song (tiga). – Bernama