Hanya 8,312 pelarian dihantar ke negara ketiga dalam tempoh 18 tahun

KUALA LUMPUR, 3 NOV – Malaysia hanya mampu menghantar 8,312 pelarian Rohingya ke negara ketiga membabitkan 10 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan Jepun dari tahun 2003 hingga 2021.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata isu penempatan pelarian Rohingya ke negara ketiga sering diketengahkan kerajaan dalam perbincangan dengan negara-negara asing dan di platform antarabangsa, namun hasilnya adalah amat kecil.

“Negara yang terbesar menerima pelarian ini ialah Amerika Syarikat iaitu lebih 7,000 orang dan terkecil ialah negara Finland, hanya seorang sepanjang 18 tahun lalu, jadi hasilnya tidaklah begitu membanggakan.

“Sebab itu, kita perlu terus bekerjasama dengan negara-negara di seluruh dunia khususnya melalui ASEAN,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai adakah Malaysia mampu mengurus isu Rohingya di negara ini yang difahamkan melebihi 200,000 orang.

Justeru, Kamarudin berkata pihak kementerian konsisten mengadakan libat urus bersama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mencari jalan bagi meningkatkan kadar penempatan semula pelarian Rohingya di negara ketiga.

“Malaysia turut berulang kali menegaskan bahawa negara kita tidak mampu menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya dan menyeru masyarakat antarabangsa tampil membantu mencari jalan penyelesaian yang berkekalan,” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Nizar mengenai usaha kementerian bersama negara-negara ASEAN bagi menyelesaikan isu Rohingya, Kamarudin berkata Malaysia sering kali menggariskan kepentingan ASEAN menggesa Myanmar menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine.

Beliau berkata Malaysia juga tegas menggesa Myanmar melaksanakan cadangan yang dikemukakan ASEAN-Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) dan melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA). – Bernama