Hanya catat nama dan nombor telefon syarat memasuki premis

PUTRAJAYA, 12 MEI – Hanya nama dan nombor telefon sahaja perlu dicatatkan pelanggan ketika memasuki premis perniagaan, sebagaimana yang dilaksanakan aplikasi Gerak Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami kebimbangan dan rungutan orang ramai apabila sesetengah pasar raya meminta nombor pengenalan dan alamat rumah pelanggan, sebelum dibenarkan melakukan urusan pembelian.

“Kita perlukan rekod pengunjung bagi memastikan sekiranya ada jangkitan COVID-19, pengesanan dapat dilakukan, bagaimanapun saya faham ada antara mereka tidak mahu letakkan alamat rumah dan nombor kad pengenalan, kerana bimbang soal keselamatan,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Beliau berkata, nama dan nombor telefon pelanggan sudah mencukupi untuk pihak berkuasa mengesan para pelanggan, sekiranya terjadi jangkitan COVID-19 di sesuatu kawasan premis perniagaan. Sementara itu Ismail Sabri berkata, perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tidak kira ia dilakukan di rumah, pejabat atau kedai gunting, semuanya sama iaitu tidak boleh dilakukan,” katanya bagi mengulas laporan yang mendakwa terdapat orang kenamaan mendapatkan khidmat gunting rambut di rumah. – Bernama