Hanya dua langgar arahan teranah di rumah

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Hanya dua pelanggaran arahan telah didapati semasa Operasi Pulih yang dijalankan dari pukul 8 malam hingga 4 pagi tadi, dapatan terendah yang dicatatkan sejak Operasi Pulih mula dilaksanakan pada 4 Oktober lalu.

“Kedua-duanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, memaklumkan bahawa kedua-dua kesalahan tersebut didapati di Daerah Brunei dan Muara.

Dalam kenyataan itu, PPDB menekankan bahawa hambatan pandemik COVID-19 mencetus perubahan besar terhadap norma masyarakat global apabila gaya kehidupan seharian telah terjejas meliputi aspek kesihatan, keselamatan, penugasan harian, sosial, budaya dan sebagainya.

Pasca wabak juga secara tidak langsung memberikan implikasi yang getir dan kritikal sehingga mendorong kerajaan melaksanakan pelbagai langkah, strategi dan tindakan yang penting bagi mencegah penularan virus merebak lebih jauh bertapak di kalangan lapisan masyarakat.

Kekangan berkenaan, tambah kenyataan, berhasil menggerakkan kesiapsiagaan kerajaan melalui posisi yang komprehensif dengan merangka langkah-langkah kawalan berserta pengemaskinian prosedur operasi standard (SOP) yang dinilai mampu mengurangkan kesan jangkitan berpaksikan kerjasama masyarakat secara timbal balik pada tahap optimum dalam usaha melawan COVID-19.

PPDB berharap penerapan langkah kawalan yang dikuatkuasakan melalui Operasi Pulih melibatkan penguatkuasaan agensi-agensi kerajaan memberi kesan yang signifikan dalam proses pemulihan negara menuju ke Fasa Endemik.

Menurut PPDB lagi, pematuhan arahan terhadap protokol kesihatan yang dikeluarkan kerajaan kepada masyarakat umum bertujuan untuk kepentingan kesejahteraan dan menjamin kemaslahatan bersama dalam membina kembali kemapanan negara seperti sebelumnya.

Anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal semasa operasi.