Hanya golongan lengkap vaksin dibenar masuk premis perniagaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Jika dilihat di seluruh dunia, apabila ekonomi sesebuah negara dibuka, jumlah kes positif melonjak naik dan Negara Brunei Darussalam mengambil pendekatan membuat penilaian semasa Fasa Peralihan bagi membenarkan mereka yang bervaksinasi lengkap sahaja untuk memasuki premis perniagaan, kerajaan dan sebagainya.

Sehubungan itu, mereka yang baru menerima satu dos vaksin, belum mendapatkan vaksin atas sebab tertentu, terutama kanak-kanak hanya dibolehkan untuk keluar bersiar-siar dan beriadah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sebaiknya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah hari ini menekankan perkara itu ketika menjawab persoalan mengenai mereka yang belum mendapatkan vaksin.

Menurutnya, ketiga-tiga golongan ini bagaimanapun tidak dibenarkan untuk memasuki bangunan perniagaan dan pejabat. Beliau turut mengingatkan, jika belum mendapatkan vaksin, risiko mendapat jangkitan adalah tinggi dan mereka tidak dibenarkan memasuki premis perniagaan dan pejabat-pejabat kerana kawasan ini adalah tumpuan orang ramai.

Bagi ibu bapa pula, mereka mestilah juga mematuhi langkah-langkah SOP, memakai pelitup muka dan membuat penjarakan jika berada di kawasan ramai dan perlu mengambil berat pengawalannya.

Walaupun sudah bervaksinasi, beliau turut mengingatkan masa peralihan nanti jika boleh keluar bila ada keperluan dan kepentingan saja, walaupun masa peralihan ini dibenarkan.

“Jika dilihat dari negara-negara lain setelah dua ke tiga bulan pembukaan semula, jumlah kes positif melonjak naik,” tegasnya.