Hanya kerana biskut

SAN FRANCISCO, 17 DIS – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas ditangkap kerana makan biskut tanpa izin.

Menurut laporan 7news.au.com, lelaki tersebut, Gregory Fields, 42, sedang menghidangkan makanan tengah hari kepada golongan gelandangan di The Salvation Army, Light Centre sebagai sebahagian daripada program pemulihan daripada kes vanda-lisme yang dihadapinya dua tahun lalu.

Namun dia kemudian memakan biskut tanpa meminta izin dan diminta untuk meninggalkan program pemulihan atau boleh kembali semula ke programnya dengan syarat dia terpaksa bermula dari awal serta tidak boleh menghubungi keluarga atau rakan-rakan selama 30 hari.

Pejabat Pembelaan Awam menerusi kenyataan media berkata, Fields tidak mahu terpisah daripada dunia luar buat kali kedua tanpa sebab yang kukuh dan ingin pulang ke pangkuan keluarganya selain mengakui bebas daripada pengambilan dadah selama tiga bulan.

Fields dikatakan cuba untuk kembali menyertai kumpulan dalam program pemulihan dadah yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Awam tetapi telah dihalang kerana dia dilaporkan telah mendapat program rawatan pesakit luar walaupun sebenarnya tidak ditawarkan apa-apa alternatif. – Agensi