Hanya kod hijau, kuning dibenarkan masuk

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Hanya mereka yang mempunyai kod hijau dan kuning pada aplikasi BruHealth sahaja dibenarkan untuk memasuki premis perniagaan atau ikut serta dalam aktiviti.

Penerangan mengenai kod-kod warna pada aplikasi BruHealth itu diberikan oleh Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, di mana mereka yang mempunyai kod hijau adalah sihat dan mereka harus memantau keadaan kesihatan mereka serta memastikan keselamatan mereka terkawal.

Manakala itu, mereka yang mempunyai kod kuning adalah risiko rendah dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, bagi mereka yang mempunyai kod merah adalah individu yang mempunyai tanda-tanda jangkitan influenza (ILI) seperti selesema, batuk, sejarah perjalanan keluar negara baru-baru ini dan kontak primer atau sekunder kepada pesakit COVD-19 yang disahkan.

Mereka tidak dibenarkan untuk memasuki premis perniagaan atau ikut serta dalam aktiviti serta tidak dibenarkan untuk mengunjungi pusat-pusat vaksinasi. Mereka hanya dibenarkan untuk mendapatkan ujian swab atau rawatan perubatan.

Mereka yang mempunyai kod ungu adalah pesakit COVID-19 dan mereka tidak dibenarkan untuk memasuki premis perniagaan atau ikut serta dalam aktiviti serta tidak dibenarkan untuk mengunjungi pusat-pusat vaksinasi.

Kenyataan menekankan bahawa sesiapa yang mempunyai kod berwarna merah dan ungu tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali, kecuali untuk mendapatkan ujian swab atau rawatan perubatan.

Sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan semasa pandemik COVID-19 ini, maka ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan ataupun kedua-duanya sekali.

Hanya mereka yang mempunyai kod hijau dan kuning sahaja yang dibenarkan memasuki premis perniagaan dan menyertai aktiviti. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan