Hanya makanan dibungkus disajikan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Selain hidangan berbentuk bufet yang disajikan sama ada di restoran-restoran mahupun di acara-acara yang diadakan, sajian makanan berbentuk dome set atau sajian makanan yang dikongsi bersama di sesebuah meja makan juga tidak dibenarkan semasa tempoh fasa peralihan nanti.

Sajian makanan yang hanya dibenarkan untuk dihidangkan semasa fasa peralihan yang akan bermula pada 19 November depan adalah hidangan makanan yang dibungkus ataupun packed food.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung petang tadi.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa bermula hari ini, segala SOP mengenai fasa peralihan telah dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perdana Menteri.

Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk merujuk dan melayari laman sesawang berkenaan bagi mendapatkan penerangan yang lebih terperinci.