Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Hanya seorang sahaja dibenarkan untuk menjemput ahli keluarga yang pulang dari haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), bagi mengelakkan perkumpulan yang terlalu ramai dan juga mengurangkan risiko jangkitan COVID.
Perkara itu antara garis panduan kepulangan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1443H/2022M yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa sidang media COVID di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin turut menyeru ahli keluarga jemaah supaya tidak beramai-ramai menjemput jemaah haji yang akan pulang ke tanah air pada 16 dan 17 Julai ini.
Beliau mengongsikan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji telah mengumumkan tarikh penerbangan pertama (BI4214) akan bertolak pada 15 Julai, jam 4:40 petang dan akan tiba pada 16 Julai, 8:10 pagi.
Manakala penerbangan kedua (BI4216) akan bertolak pada 16 Julai, jam 4:40 petang dan akan tiba pada 17 Julai, jam 8:10 pagi.
Sementara itu, Yang Berhormat Pehin memaklumkan garis panduan yang lain termasuklah semasa dalam tempoh tiga hari selepas kepulangan jemaah haji, orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada menziarahi jemaah haji; jemaah haji juga tidak digalakkan keluar rumah untuk menghadiri majlis atau ke tempat awam; dan jemaah haji perlu membuat ujian ART setiap hari dalam tempoh tersebut dan melaporkan hasil ujian ke aplikasi BruHealth.
Yang Berhormat Pehin juga mengingatkan bahawa pada masa ini, negara berada dalam Fasa Endemik dan yang demikian adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk terus berhati-hati dengan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi sama-sama mengurangkan risiko jangkitan COVID.
Menteri Hal Ehwal Ugama turut mengongsikan bahawa garis panduan itu merupakan SOP kesihatan yang telah dirumuskan dalam mesyuarat khas antara agensi-agensi iaitu Unit Perubatan Haji, Kementerian Kesihatan; Jabatan Penerbangan Awam; Polis LTAB; Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB); Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB), dan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah (Darussalam Services Sdn Bhd, Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd dan Al-Hijrah Travel & Tour Sdn Bhd).
Terdahulu, Yang Berhormat Pehin mengongsikan rasa syukurnya kepada Allah SWT kerana jemaah haji negara telah dapat melaksanakan ibadah haji dengan aman dan selamat, teratur dan sempurna iaitu hasil kerjasama padu daripada semua pihak yang berkenaan dalam hal ehwal urusan haji khususnya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“KHEU sukacita merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi keseluruhannya atas kejayaan penyelenggaraan semua persiapan ibadat haji di tanah suci Mekah dan Madinah bagi musim haji tahun 1443H ini yang berlangsung dengan aman dan selamat,” tambah Yang Berhormat Pehin lagi.