Hanya vaksin AZ bermula 9 Ogos ini

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Izah Azahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Bermula 9 Ogos, vaksin AstraZeneca (AZ) akan mula digunakan bagi semua individu yang belum menerima vaksin COVID-19, manakala bekalan vaksin Moderna yang ada pada masa ini hanya akan digunakan bagi mereka yang memerlukan vaksin tersebut untuk dos kedua sahaja.

Ini bererti semua individu yang telah menerima dos pertama vaksin Moderna akan menerima vaksin yang sama untuk dos kedua mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, pemberian vaksin AZ juga akan ditawarkan bagi individu berumur 50 tahun ke atas.

Manakala bagi mereka yang berumur 18 hingga 49 tahun tahun yang ingin menerima vaksin AZ boleh mengambilnya secara sukarela.

Kementerian Kesihatan turut menyatakan bahawa bagi sesiapa yang telah membuat perjanjian suntikan vaksin namun tidak berhasrat untuk menerima vaksin AZ, mereka dinasihatkan untuk membatalkan perjanjian bagi memberikan ruang kepada orang lain untuk menempah slot suntikan.

Seorang lelaki menerima suntikan vaksin COVID-19 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Orang ramai menanti untuk mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Sementara itu, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, setakat 4 Ogos, sebanyak 177,628 dos suntikan vaksin COVID-19 telah diberikan, termasuk 52,919 dos vaksin AZ, sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 mula dilancarkan.

Di samping itu, sejumlah 85,449 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Moderna. Berdasarkan unjuran penggunaan semasa, dijangkakan hampir 100,000 individu akan menerima vaksin Moderna menjelang hujung minggu ini.

Sementara itu, bagi memenuhi sasaran Kementerian Kesihatan untuk memvaksinasi 70 peratus penduduk negara ini, waktu operasi bagi program vaksinasi COVID-19 di Pusat Vaksinasi Daerah Brunei dan Muara di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah telah dilaratkan ke waktu malam pada jam 8 malam bermula 2 Ogos lalu.

Pada masa ini program vaksinasi hanya mampu menerima lebih dari 2,000 orang setiap hari dan kini telah ditingkatkan sebanyak 1,500 dan pihak Kementerian Kesihatan menyasarkan 3,000 orang untuk divaksinasi dalam dua syif dalam masa sehari.

Beliau turut menambah bahawa beberapa pertimbangan khas diberikan untuk walk-in terutama untuk warga emas dan individu berkeperluan khas, tetapi lebih disarankan jika mereka membuat perjanjian.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini bagi Program Vaksinasi Kebangsaan, dapatan-dapatan dari United Kingdom dan Kanada menunjukkan bahawa vaksin AZ sangat berkesan dalam mencegah jangkitan (mampu mencegah lebih dari 90 peratus jangkitan) dan mencegah kesan yang teruk akibat varian Delta.

Varian Delta kini adalah merupakan varian utama jangkitan COVID-19 di seluruh dunia.
Analisis kejadian berikutan imunisasi (AEFI) di Negara Brunei Darussalam juga menunjukkan bahawa semua vaksin yang digunakan dalam Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 adalah selamat dan sebahagian besar kesan sampingannya adalah kesan sampingan ringan dan bersifat sementara yang boleh sembuh sepenuhnya setelah beberapa hari.