Hanya visa perkhidmatan penting dikeluarkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Sebanyak 796 visa telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) sejak bermulanya gelombang kedua penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Visa yang dikeluarkan dan diberikan hanya bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang penting sahaja manakala visa bagi kategori lain tidak dikeluarkan oleh JIPK.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan perkara tersebut pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri turut menyentuh mengenai beberapa perkhidmatan di JIPK yang ditutup disebabkan penutupan ibu pejabatnya.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar juga menerangkan bagi mereka yang benar-benar memerlukan untuk membuat sebarang urusan dan ingin mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan di jabatan berkenaan adalah masih dibukakan dan diberikan layanan dengan menghubungi talian telefon bagi membuat perjanjian atau janji temu di samping penyediaan drop box untuk perkhidmatan tertentu.