Hanya yang gembira bersama City – Guardiola

NANJING, 18 JULAI – Pengurus Manchester City Pep Guardiola memberi amaran kepada Leroy Sane (gambar bawah) bahawa dia hanya berminat dengan pemain yang gembira berada di kelab berkenaan.

Pemain sayap Jerman itu kuat dikaitkan dengan juara Bundesliga, Bayern Munich selepas mendapati dirinya banyak memanaskan bangku simpanan, musim lalu. Sebelum memulakan kempen Trofi Asia Liga Perdana, Guardiola ketika ditanya mengenai masa depan pemain berusia 23 tahun itu sekadar memberi reaksi ringkas ‘Ya’ dan enggan untuk mengulas lanjut.

Tetapi selepas kemenangan 4-1 ke atas West Ham, semalam bekas pengurus Bayern menggambarkan Sane sebagai ‘Kualiti istimewa yang sukar untuk diperoleh’.

City sudah menawarkan Sane kontrak baharu tetapi ia tidak meredakan spekulasi membabitkan dirinya.

“Kami mahu sesiapa yang berada di sini gembira. Dia mengetahuinya, mereka semua mengetahuinya, ia sukar untuk disenaraikan kerana kualiti yang kami miliki,” kata Guardiola.

“Tetapi pada masa yang sama seperti yang saya katakan kepada kelab berkali-kali, saya mahu sesiapa yang berada di sini untuk gembira, jika mereka tidak mahu berada di sini, mereka boleh pergi.” – AFP