Happy hypoxia: Pesakit COVID-19 sentiasa dipantau

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Setakat ini, lebih 13,000 orang telah dijangkiti COVID-19 di negara ini yang mana beberapa orang daripadanya telah mengalami happy hypoxia.

Happy hypoxia merupakan keadaan seseorang yang mengalami penurunan kadar oksigen dalam tubuh tanpa menunjukkan gejala dan tanpa disedari.

Terdapat daripada mereka tidak menyedari kadar oksigen mereka menurun sehingga ke 60-70 peratus yang mana keadaan ini adalah menakutkan.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, meskipun jumlah mereka yang menghidap happy hypoxia tidak ramai, pada ketika ini sesiapa yang dijangkiti COVID-19 yang berada di pusat pengasingan akan sentiasa diperiksa dan dipantau keadaannya meskipun mereka tidak memiliki sebarang gejala.